:: Khutbah Jumaat 22/01/2010 ::



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“ KAFIR DZIMMI DAN KAFIR HARBI ”
  (22 JANUARI 2010 / 06 SAFAR 1431)


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan amal ibadah dan meninggalkan perbuatan yang tidak bermanfaat. Sesungguhnya amal ibadah adalah salah satu kayu pengukur kualiti keimanan seorang hamba. Semakin tinggi tingkat keimanan, maka semakin banyak pula amal ibadahnya dan sedikit maksiatnya. Demikian pula sebaliknya. Pada hari ini, mimbar Jumaat akan memperkatakan khutbah mengenai tajuk: “Kafir Dzimmi Dan Kafir  Harbi”.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Dalam konteks kehidupan beragama di negara ini penduduknya terdiri daripada Islam dan bukan Islam. Menurut syariat Islam, pada dasarnya terdapat dua jenis status orang bukan Islam atau Non-muslim iaitu Kafir Harbi dan Kafir Dzimmi. Secara ringkasnya Kafir Harbi adalah merujuk kepada orang bukan Islam yang terlibat dalam peperangan membunuh orang Islam di dalam wilayah yang bergolak. Pada masa ini, mimbar amat meyakini terdapat ejen-ejen kafir harbi yang bergerak secara senyap menimbulkan perpecahan atau pun menggunakan isu-isu agama di negara Islam. Contoh jelas ialah apa yang berlaku di beberapa negara Asia Barat.
Manakala orang Kafir Dzimmi pula merujuk kepada orang bukan Islam yang menetap dalam negara Islam, mendapat kerakyatan, membayar cukai yang ditetapkan dan mendapat jaminan keamanan daripada pemerintah Islam berdasarkan perjanjian yang dipersetujui.
Persoalan besar timbul ialah apakah jenis status orang bukan Islam yang terdapat di negara kita samada digolongkan sebagai Kafir Harbi atau Kafir Dzimmi. Berdasarkan pemerhatian mimbar status orang bukan Islam di negara ini digolongkan sebagai ahli Dzimmi kerana pada prinsipnya mereka mentaati dan mengakui untuk tunduk kepada perjanjian kontrak sosial yang diwujudkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Salah satu persetujuan penting dalam perlembagaan itu ialah mengakui Islam adalah agama Persekutuan yang membuka jalan Islam menjadi agama yang berkuasa di negara ini. Pada masa yang sama Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sekaligus menjadi Ketua Agama Islam dan pelindung memartabatkan Islam di negeri-negeri yang berkaitan. Selari dengan kontrak sosial itu mereka tinggal aman damai, tinggal bersama dalam masyarakat Islam sebagai jiran tetangga, menjadi rakan sekerja, rakan kongsi berpolitik, rakan sepermainan dan menjadi rakan sekolah. Malah mereka diberi peluang pula berkongsi menyumbangkan tenaga memerintah negara ini.
Mesyuarat Jemaah Menteri juga memain peranan besar dalam menentukan ketinggian Islam dalam perlembagaan. Pada 16 Mei 1986 Mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan kalimah Allah adalah termasuk antara beberapa kalimah yang dilarang penggunaannya oleh mereka bukan beragama Islam. Malah pada 3 Jan 2008 Jemaah Menteri sekali lagi mengulangi bahawa orang bukan Islam dilarang menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama mereka. Malah sepuluh buah negeri telah menguatkuasakan Enakmen Kawalan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang bertujuan melarang orang bukan Islam menggunakan secara bertulis ataau lisan atas perkataan yang dilarang. Semua peraturan ini dibuat bagi menjamin keharmonian hidup beragama dan perlu ditaati oleh pihak berkaitan.
Menurut prinsip hukum Islam, memberi perlindungan dan layanan baik kepada ahli Dzimmi adalah wajib. Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah, ayat 8:


Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil”.

Menurut al-Quran, orang Islam dikehendaki mengadakan hubungan mesra dan baik dengan ahli Dzimmi serta bersikap adil selagi mereka tidak menentang dan menindas orang Islam atau menghalang penyebaran Islam.

Sidang Jumaat Yang Di Rahmati Allah,

Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada manusia sejagat. Saidina Abu Bakar As- Siddiq pernah berpesan kepada kaum muslimin sebelum berangkat ke medan perang dengan mengingatkan tenteranya supaya jangan berbuat khianat, membunuh bayi, membunuh orang tua, membunuh kaum wanita, menyembelih binatang ternakan, menebang pokok, menghancurkan rumah penduduk, membakar ladang pertanian, mengganggu orang beribadat , merosakkan rumah ibadat, dan menyerang mereka pada waktu subuh untuk mengelak kaum wanita dan kanak-kanak menjadi panik. Kisah Saidina Umar Al-Khatab yang memasuki gereja Yahudi ketika Baitulmaqdis ditawan juga tidak menyuruh tenteranya membakar gereja, buku bible dan salib bahkan membiarkannya sahaja.
Berdasarkan ajaran al-Quran dan tindakan bijak pemimpin Islam di zaman Rasulullah SAW jelas kepada kita bahawa menzalimi dan memusuhi orang bukan Islam adalah bukan ajaran Islam. Dengan demikian perbuatan membakar gereja dan rumah ibadat orang bukan Islam menyalahi bercanggah dengan hukum Islam. Islam juga mengajar kita jangan terikut-ikut dengan emosi liar.
Bagaimana pun mimbar mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian bahawa mengadakan hubungan baik dengan orang bukan Islam bukanlah bermakna kita lupa tanggungjawab kita kepada Islam. Islam menetapkan bahawa persoalan iman dan ibadat tidak ada toleransi. Oleh itu apabila masuk waktu solat ketika melaksanakan program bersama dengan orang bukan Islam, kita utamakan bersolat, apabila kita makan pastikan apa yang kita makan itu adalah halal. Jika terdapat aktiviti yang bercampur halal dengan haram maka kita hendaklah jauhi. Apa yang lebih malang lagi dalam menjayakan toleransi itu kadang kala kelihatan penampilan akhlak orang Islam itu sama dengan tabiat orang bukan Islam.
               
Sidang Jumaat Yang Di Rahmati Allah,

Mimbar ingin mengingatkan jemaah sekalian apabila kita ditekan dan dituntut oleh pihak tertentu untuk memenuhi tuntutan mereka, maka hendaklah kita terus berpegang kepada ajaran Islam supaya kita tidak mudah hilang pedoman. Firman Allah SWT dalam Surah al-An’aam ayat 153:


Maksudnya: ”Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Mengakhiri khutbah, mimbar menyeru sidang jemaah dan umat Islam sekalian agar berwaspada dengan muslihat ejen-ejen kafir harbi ini dan jangan sekali-kali kita menggadai akidah, menggadai jati diri muslim, menggadai integriti demi untuk menjaga ketinggian agama Islam di negara ini.


Maksudnya : “Katakanlah wahai Muhammad: Hai orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku. (Surah Al-Kaafirun: 1-6)





0 Ulasan & Pandangan:

Powered by Blogger.