:: Permata Yang Dicari ::


Hadirnya tanpa kusedari
Menggamit kasih cinta bersemi
Hadir cinta insan padaku ini
Anugerah kurniaan Ilahi

Lembut tutur bicaranya
Menarik hatiku untuk mendekatinya
Kesopanannya memikat di hati
Mendamaikan jiwaku yang resah ini

Ya Allah
Jika dia benar untukku
Dekatkanlah hatinya dengan hatiku
Jika dia bukan milikku
Damaikanlah hatiku
Dengan ketentuan-Mu

Dialah permata yang dicari
Selama ini baru kutemui
Tapi ku tak pasti rencana Ilahi
Apakah dia kan kumiliki
Tidak sekali dinodai nafsu
Akan kubatasi dengan syariat-Mu
Jika dirinya bukan untukku
Redha hatiku dengan ketentuan-Mu

Ya Allah
Engkaulah tempat kubergantung harapanku
Kuharap diriku sentiasa di bawah rahmat-Mu

Lagu : Fahmi (o.p. DeHearty Publishing / s.p. NAR Publishing)
Lirik : Nurul Uyun Abdul Aziz (o.p. DeHearty Publishing / s.p. NAR Publishing) 
 

:: Masa Depan Generasi Muda Islam ::

Assalammualaikum



Apa yang bakal saya tulis mungkin terlalu idealistik, boleh jadi sukar dihadam oleh para pembaca. Apa yang ingin saya sampaikan bukanlah tentang ungkitan hari semalam, tetapi jangkauan hari esok. Siapa tahu apa akan terjadi pada kita nanti? Ketidakpastian tentang masa depan menjadikan hidup ini sangat mencabar. Kita berjalan di dalam gelap yang kian mencerah hari demi hari. Apa yang kita tidak pasti tentang diri kita 10 tahun yang dulu, kini kita telah mendapat jawapannya. Apa yang kita tertanya-tanya tentang diri kita pada 10 tahun akan datang, kita harus terus berlalu agar jawapan itu kita ketemu. Apa yang kita nampak dan lihat, itu adalah kejadian sekarang. Masa depan tiada siapa yang pasti.

Namun Allah itu Maha Indah. Menciptakan perjalanan alam yang begitu mempesonakan. Ada konsep Cause and Effect. Kita akan dibalas sesuai dengan apa yang kita beri. Ertinya realiti keadaan hidup pada hari ini adalah unjuran daripada segala aktiviti yang lalu. Dan segala perbuatan hari ini bakal mengundang kesan pada hari esok. Ya, memang kita tidak pasti, dan sukar untuk mengerti masa depan kita. Namun ketahuilah, kelalaian kita dalam merenung masa depan akan menjadikan kita manusia yang berbuat sewenang-wenangnya. Mungkin jangkauan kita kurang tepat, namun sikap mengambil peduli dan berfikiran jauh menjadikan kita lebih berhati-hati.

Ini bukan soal menilik nasib Umat dan melontarkan sewenang-wenangnya tanggapan mengikut suka hati, tapi apa yang saya cuba lakukan ialah membawa kita merenung keadaan masyarakat hari ini dan merelatifkannya dengan masa depan, mungkin 10 tahun lagi, atau 20 tahun lagi. Saya cuba menimbulkan persoalan yang harus difikirkan bersama. Ini juga bukan soal melihat dunia daripada sudut pandang yang negatif, lalu terus memberikan kesimpulan yang menutup pintu perubahan, tetapi ini adalah soal melontarkan realiti dan mencari solusi.


Apa yang sedang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini mirip apa yang pernah terjadi dalam kehidupan masyarakat Jahiliyyah Arab. Tidak keterlaluan jika disebut sebagai Jahiliyyah Moden. Intelektual dan kejahilan wujud bersama dalam sebuah masyarakat, intelek dalam urusan keduniaan, jahil dalam urusan agama dan akhlak. Binaan dan runtuhan juga wujud sekali, terbinanya bangunan tinggi di atas runtuhan akhlak.

Kalau dahulu masyarakat Jahiliyyah terkenal dengan perbuatan menanam anak perempuan yang baru lahir, hari ini bukan setakat anak perempuan, dan bukan setakat tanam. Ada yang menghumban ke dalam air sungai, ada yang membiarkan dalam mangkuk tandas, ada yang membuang dalam tong sampah begitu sahaja. Kalau masyarakat Jahiliyyah dulu memperdagangkan wanita dan merendahkan martabat wanita, hari ini juga berlaku. Wanita dijadikan bahan pemuas nafsu, ada yang dirogol, dibunuh, dijual, disimpan, ditukar ganti sesuka hati. Bahkan dilakukan dengan pelbagai cara yang lebih kejam dengan bantuan alat teknologi. Gambar lucah disebarkan di sana-sini, wanita bertelanjang menjadi paparan di mana-mana.




Mudah bicaranya, perbuatan jahiliyyah berulang, dan semakin bertambah genre dan cara melakukannya. Generasi muda antara golongan yang menjadi pelaku aktif kepada perbuatan-perbuatan sebegini. Ya, Generasi Muda Islam. Bukan semua, tetapi kebanyakannya. Ini memberi impak secara langsung kepada masyarakat umumnya, kerana generasi muda adalah penggerak kepada masyarakat. Jika inilah realitinya, ke manakah arahnya masyarakat akan digerakkan? Bagaimanakah dengan nasib anak-anak yang baru lahir, generasi yang baru melihat dunia? Apakah mereka akan berpeluang hidup tanpa noda dan penuh didikan agama jika generasi muda sedia ada begitu daif dan tak mampu memberi? Tak mampu mendidik apatah lagi membawa perubahan.

Apabila saya menyebut tentang masa depan generasi muda kini, ia bererti keadaan masyarakat setelah generasi muda ini menjadi golongan tua dan ada pula generasi muda baru di bawah mereka. Jika generasi muda sedia ada sudah begini gayanya, apakah harapan kita tentang generasi baru yang akan dibentuk oleh mereka nanti? Bagaimanakah seorang ibu yang minah rempit dan jahil dalam pelbagai sudut kehidupan hendak mendidik anaknya menjadi baik dan soleh? Bagaimana pula seorang ayah yang juga seorang perogol nak membentuk anaknya menjadi beriman? Bagaimana ibu-ibu yang pakaiannya tak cukup kain, nak menyuruh anaknya menutup tubuh dan memelihara kehormatan? Bagaimanakah seorang ibu dan ayah yang tak tahu membaca Al-Quran, nak mendekatkan diri anaknya kepada Al-Quran dan kepada Tuhan?

Bagaimana dan bagaimana…persoalan itu terus berkembang sehingga kita sedar bahawa masa depan kita nampak kelam. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

“Tak apa, kita muda lagi, enjoy la dulu”

Terpulang, enjoy lah, setakat mana yang kita mampu, kalau itu yang kita nak. Kelak jangan menyesal di masa depan, dan jangan salahkan generasi yang baru lahir jika mereka lebih rosak daripada generasi muda sedia ada. Persoalannya, apakah kerosakan generasi hari ini kerana kelalaian golongan tua kini, ketika mereka muda dahulu? Kalau ada seorang pakcik berbicara penuh semangat “generasi muda hari ini dah rosak!”, cuba tanyakan padanya, “apa yang telah pakcik lakukan sampai sebegini rosak generasi kini?”

Saya telah lontarkan, sekarang kita fikirkan. Pasti ada penyelesaian. Pasti ada jalan penyelamatan.



wasalam 

:: Bus Stop Around the World ::

Assalammualaikum


























wasalam

:: Kematian Suatu Kepastian ::


Assalammualaikum

Tanpa kita sedari, masa berlalu dengan begitu pantas sekali. Namun, kita terus terleka dengan pelbagai perkara yang melalaikan sehingga kita terlupa tujuan sebenar kita berada di muka bumi ini. Beruntunglah bagi mereka yang terus berpegang dengan kemudi keimanan, dan rugilah bagi mereka yang terus hanyut tanpa pedoman. 


Sahabat-sahabatku, 

Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapakah kita perlu berbicara tentang kematian? Sedangkan kita masih muda, perjalanan kita masih jauh. Kita hampir terlupa tentang hakikat sebuah kematian yang terus mengejar kita. Kematian itu PASTI. Tiada siapa dapat mengelak atau melambatkannya walaupun hanya beberapa detik. Malaikat Izrael tidak pernah alpa dalam menjalankan tugasnya. Hatta, setiap makhluk di muka bumi ini ada janji kematian tersandar ke atasnya. Marilah kita sama-sama merenungi firman Allah dalam surah Al-Anbiya ayat 34 dan 35 yang bermaksud :

“Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad),  adakah mereka akan hidup selama-lamanya? Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”

Jelaslah pada kita bahawa kehidupan manusia bukan abadi, kematian pasti akan dirasakan bagi setiap yang bernyawa, dan bagi yang tinggal ia adalah ujian untuk menghadapinya.
Sahabat-sahabatku,

Apakah kepentingan untuk kita mengingati kematian?


1) Kematian merupakan peringatan yang terbaik. Allah tidak menyatakan bahawa kematian hanya pada orang yang lanjut usia atau yang menderita kesakitan. Hakikatnya, kematian tidak mengira usia, jantina, pangkat dan sebagainya. 
 
2) Menjadi pemangkin untuk terus melakukan kebaikan. Hakikatnya, kita sering melakukan dosa sama ada disedari atau tidak. Andai kita mengira kita telah menggantikannya dengan amal kebaikan, persoalannya adakah amalan kita diterima-Nya? Adakah amalan itu disertai dengan keikhlasan? 

3) Mengingatkan diri tentang matlamat utama kehidupan iaitu mardhatillah (keredhaan Allah). Amalan di dunia ini menjadi bekalan di akhirat. Seharusnya kita menyedari bahawa syurga itu mahal dan payah, tetapi mampu untuk dicapai. Berbekal kesedaran ini, kita mampu bergerak dan bertindak ke arah mencapai matlamat itu. 

4) Pernah saya mendengar bahawa untuk ke syurga tidak cukup dengan amal kebajikan. Hakikatnya terlalu jauh amalan kita jika hendak dibandingkan dengan para Anbiya' dan sollehin yang terdahulu. Perkara utama yang membantu kita ialah rahmat iaitu kasih sayang Allah kepada kita. Jadi, ingat mati membawa kepada amal baik yang InsyaAllah dipandang Allah sebagai amal soleh. 

5) Setiap kematian yang kita dengari dan lihat sebenarnya boleh membantu kita memperbaiki diri. Memanglah tidak seharusnya kita berbicara tentang hal keburukan si mati tetapi pada kejadian itu ada pengajaran yang boleh diambil. Bagaimana orang-orang soleh dimudahkan hal kematiannya, pergi dengan tenang dan mudah diuruskan jenazahnya. Ambillah ia sebagai pengajaran, kerana kematian adalah ilmu yang bermakna buat yang hidup. 
 
Sahabat-sahabat sekalian, 

Suka untuk saya mengingatkan diri agar bersedia menghadapi kematian dan berdepan dengan kematian orang sekeliling. Memang mudah untuk menasihatkan orang lain supaya bersabar menghadapi kematian, namun hakikatnya payah untuk merelakan permergian orang tersayang. Jadi marilah sama-sama kita pasakkan dalam diri bahawa kematian itu pasti. Ia menjadi misteri yang hanya Allah yang tahu, namun kita sudah diberi peringatan dan jalan untuk menghadapinya, iaitu dengan melakukan amal soleh secara berterusan. Marilah kita tanamkan keazaman untuk berubah dari hari ke hari ke arah kebaikan. InsyaAllah moga jalan kita diluruskan Allah dan kekal dalam kasih-sayang-Nya.

Wallahua'lam 

wahai diri..ingati mati! Mati itu pasti!


Powered by Blogger.