:: Universiti Ramadhan ::

 Assalammualaikum

"Apabila  bulan  Ramadhan  telah  datang,  maka  dibukalah  pintu-pintu syurga,  ditutuplah  pintu-pintu neraka  dan  diikatlah  semua  syaitan."
(Muttafaq 'alaih)
 
Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, sedar tak sedar, Ramadhan sudah amat hampir dengan kita. Alhamdulillah. Ya Allah sampaikan kami ke bulan mulia itu. Amin.
Teruja tidak untuk menghadapi bulan Ramadhan? Sudah tidak sabar-sabar? Jika para sahabat, bulan Ramadhan merupakan suatu bulan yang amat mereka nanti-nantikan. Sebelum hadirnya Ramadhan, mereka sering meminta-minta kepada Allah agar mereka diketemukan dengan Ramadhan yang berikutnya. Seperti do'a yang diajarkan Rasulullah SAW,

“Allaahumma Baarik Lana Fii Rajaba Wa Sya’baana, Wa Ballighna Ramadhaana."
 
Ertinya: Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami di dalam bulan Rejab dan Sya’ban serta sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan.

Bagi menyambutnya juga, persediaan dari sudut rohani, fizikal dan mental dipersiapkan bagi mengharungi bulan Ramadhan yang peluangnya datang hanya setahun sekali. Seperti lagaknya mahu menyambut satu perayaan besar-besaran, persiapan-persiapan pra-perayaan perlu dilakukan. Pelbagai jenis persiapan akan dilakukan demi memastikan perjalanan pada hari perayaan kelak dapat berjalan dengan lancar dan berjayanya.

Begitu juga dalam kita menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubarak. Persiapan-persiapan pra-Ramadhan harus kita lakukan sebaiknya. Kita mahu diri kita tenang melaksanakan ibadah-ibadah di dalamnya. Kita mahu latihan diri di bulan Ramadhan dapat kita jalani dengan berjayanya. Dan persediaan yang saya katakan di sini sudah tentu bukan persediaan wang ringgit mahupun materialistik. Persediaan yang dimaksudkan adalah persiapan diri. Itu yang utama.

Cuba anda tanya diri. Tika ini, sudah cukupkah persediaan yang aku lakukan untuk menghadapinya?


Universiti Ramadhan

Dalam kita mempersiapkan diri, pertama, makna Ramadhan itu sendiri harus kita fahami. Ia amat penting agar hadirnya Ramadhan kita hargai, kemudian ketika di dalamnya kita menggunakan peluang yang ada sehabis baik, lantas di hujungnya, moga-moga Ramadhan kali ini menjadi suatu bulan yang penuh makna bagi kita. Menjadikan kita seorang manusia yang lebih baik daripada sebelumnya.

Pelbagai nama digunakan dalam mendefinisikan Ramadhan. 'Bulan keberkatan' (Ramadhan Al-Mubarak), 'Bulan Kemuliaan' (Ramadhan Al-Kareem), dan pelbagai lagi.

Di sini, suka untuk saya sentuh dari satu sudut lain, yakni bulan Ramadhan sebagai universiti, atau sekolah. Atau sering kali dipanggil, 'Madrasah Ramadhan'.

Universiti Ramadhan? Apakah? Istilah yang digunakan itu tidak penting mana sebenarnya. Apa yang utama, konsep atau maknanya kita fahami.

Baik. Secara mudah, apa yang manusia perolehi apabila berada di sebuah universiti? Didikan, latihan, pengajaran dan pembelajaran, proses pembentukan insan, seterusnya dan seterusnya. Benar?

Justeru, begitu juga bagaimana seharusnya kita melihat bulan Ramadhan  kali ini. Bulan Ramadhan ini hakikatnya adalah 'Bulan Tarbiyah' (Bulan Didikan), yang mana melaluinya, seseorang Muslim itu seharusnya terdidik jiwanya. Terdidik peribadinya.

Bagaimana Ramadhan ini dapat mendidik kita? Sesungguhnya pelbagai didikan yang Allah beri pada kita melalui Ramadhan.

Dengan ibadah puasa sahaja, kita didik untuk mengawal nafsu kita. Kita dididik bukan hanya untuk menahan diri dari makan dan minum. Bahkan, pada masa yang sama, kita turut dididik untuk mengawal nafsu syahwat kita. Ketika berpuasa kita hendaklah menjaga kemaluan, menjaga pandangan mata, hatta menjaga hati kita sekalipun.

Perkara ini ramai yang terlepas pandang. Bulan Ramadhan sebagai satu bulan pendidik nafsu. Sama ada mereka tidak tahu, atau tahu tapi buat tak endah.

"Orang yang berpuasa  itu meninggalkan makan, minum dan syahwatnya karena  taat  pada  perintahKu(Allah).  Puasa  adalah  untukKu  dan  Aku  akan memberikan balasannya, sedang sesuatu kebaikan itu dibalas dengan sepuluh kali lipat gandanya." (HR. Imam Bukhari) -Hadis Qudsi
 
Tambahan lagi, kita bukan sahaja sekadar dididik untuk memelihara nafsu, malah kita juga dididik untuk menjaga lidah kita. Kenapa lidah? Bak kata cendekiawan, ‘Lidah itu lebih tajam dari pisau’.

Dengan mulut yang celupar, ramai yang akan sakit hati. Melalui tutur kata yang kesat, permusuhan dan pergaduhan dengan mudahnya dapat tercetus. Wah! Bahaya sungguh lidah kita ini ya.

"Apabila  pada  hari  seseorang di  antara engkau semua  itu berpuasa, maka janganlah ia bercakap-cakap yang kotor dan jangan pula bertengkar. Apabila ia dimaki-maki oleh seseorang atau dilawan bermusuhan, maka hendaklah ia berkata: "Sesungguhnya saya sedang berpuasa." (Muttafaq 'alaih)
 
Maka, di bulan Ramadhan ini juga, mari kita latih diri untuk menjaga lidah kita. Memelihara tutur kata kita. Berkatalah menggunakan kata-kata yang baik dan ada manfaat. Jika tidak dapat melakukannya, cukuplah hanya berdiam diri. Ya. Satu perkara yang harus kita pandang serius. Mengapa? Seandainya perintah ini kita abaikan, ditakuti, tidak ada apa-apa yang akan kita peroleh dari puasa kita nanti, melainkan hanya lapar dan dahaga.

Dalam sebuah hadis, "Barangsiapa  yang  tidak  meninggalkan  kata-kata  dusta  dan  tidak  pula meninggalkan berkelakuan dengan dasar dusta, maka tidak ada keperluannya bagi  Allah  dalam  ia meninggalkan makan  dan minumnya. Maksudnya:  Di waktu  berpuasa  itu  hendaknya meninggalkan  hal-hal  di  atas,  agar puasanya tadi mendapat pahala." (HR. Bukhari)
 
Ayuh! Siapkan diri kita untuk dilatih.

Banyak lagi didikan-didikan yang mampu kita perolehi dari bulan mulia ini. Ramadhan melatih kita untuk sabar dan tabah tika diuji. Mendidik kita untuk mampu mengawal diri kita. Melatih kita berdisiplin. Mendidik diri kita untuk menjadi hambaNya yang sebenar-benarnya selama 24 jam sehari, 7 hari seminggu.

Mudah kata, didikan rohani dan diri yang diberikan bersifat ‘holistik’.

Hmm.. Namun begitu, adakah semua muslim akan berjaya terdidik dengan didikan-didikan di dalam Ramadhan?

Adakah pasti, diri kita ini akan menjadi seorang insan yang lebih baik selepas melalui bulan Ramadhan?

Semudah itukah?

Bak kata salah seorang pensyarah saya, “I may help you. But if you don’t help yourself, I can’t do anything to help you.”

Benar. Justeru, dalam apa-apa perkara sekalipun, semuanya akan kembali pada diri kita sendiri.

Biar kita ditempatkan di universiti terbaik sekalipun, malah dididik oleh guru yang terhebat, selagi mana kita sendiri tidak mahu terdidik, tidak mahu menyediakan diri untuk perubahan ke arah yang lebih baik, maka semuanya itu hanya akan menjadi sia-sia sahaja.

Bayangkan, ketika berada di dalam universiti, ketika kelas sedang berlangsung, fikiran kita menerawang ke tempat lain. Sewaktu pensyarah sedang mengajar, kita bersembang. Tatkala silibus pelajaran disampaikan, kita tidur. Ataupun, kelas yang diadakan itu sendiri langsung tidak kita hadiri.

Maka apakah proses pendidikan itu dapat berjalan? Jika begitu sikap kita, adakah kita dapat mengambil manfaat dari pelajaran yang dikurniakan?

Sudah tentu tidak!

Maka begitu juga dengan bulan Ramadhan. First rule. Jika kamu tidak mahu membantu diri kamu sendiri, maka kamu tidak akan terbantu.

Justeru amat penting kita menyedari bulan Ramadhan kali ini sebagai satu bulan didikan. Satu bulan tarbiyah. Lantas kemudiannya menyediakan diri kita untuk terdidik dengan dididikan-dididikan Ramadhan.

Mari kita mempersiapkan diri menghadapinya. Mari sama-sama kita pasang niat serta target, mahu menjadi hambaNya yang lebih baik selepas melalui Ramadhan. Dapat menjalankan peranan sebagai hamba sepenuh masa.

Ayuh!

Harapannya, proses didikan ini akan menjadi suatu pengalaman yang amat kita hargai dan merasa syukur, ketika kita melihatnya kembali sewaktu berada di Akhirat kelak. InsyaAllah.

Moga-moga, Ramadhan kali ini penuh makna.

wassalam

:: Ramadhan Datang lagi ::

Assalammualaikum

“Ramadan kali ini aku nak cuba baiki diri. Lama dah rasanya tak buat amalan sunat. Rasa diri ini tak pandai menyambut Ramadan. Tapi kali ini aku nak cuba agar sejarah silam tak kembali lagi…”
 
Bulan Islam

Mungkin itulah kata hati kita apabila tibanya malam pertama Ramadan kali ini memandangkan Ramadan yang lepas disia-siakan. Adakalanya terasa juga ruginya umur remaja dijadikan masa untuk bersuka-ria sahaja. Sibuk dengan kawan-kawan, enjoy sana, enjoy sini hingga syariat Tuhan diabaikan. Tuhan semakin ditinggalkan apatah lagi nak dicintai. Huh… sibuk benar mengejar dunia yang sementara saja.
   
Ramadan yang sarat dengan janji pahala dan keampunan tidak layak untuk kita sia-siakan. Sesungguhnya puasa zahir ditandai dengan berakhirnya siang, iaitu ketika mulai tenggelamnya matahari di tempat istirehatnya. Semasa berbuka lupa Ramadan sekejap, rasa dunia ini dia yang punya, pelbagai jenis air, bermacam-macam warna dan rasa, kuih tak tau la berapa jenis, belum lagi lauk pauk. Pendek kata tak ada ruang lagi la atas meja tu. Akhirnya semua itu akan dimasukkan ke dalam tong sampah kerana perut tak dapat menampung beban makanan yang masuk…membazir bukan.
   
Akan tetapi puasa orang-orang yang dekat dengan Tuhan, tidak berpenghujung. Tidak dimulai dengan syuruk dan tidak diakhiri dengan ghurub. Tidak dapat dihitung dengan bilangan jam dan batasan waktu. Malah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan mengharap reda Allah. PUASA MEREKA DIIRINGI DENGAN RASA BERTUHAN YANG MENDALAM DAN RASA HAMBA YANG MEKAR MEMBUNGA. Dirasakan Ramadan inilah rahmat dan kasih sayang Tuhan itu melimpah-ruah.
   
Pernah Rasulullah SAW, manusia yang agung bersabda: “Ada orang yang berpuasa tapi tiada baginya pahala, yang dapat hanyalah lapar dan dahaga”.
   
Ingatan ini mesti dijaga agar ibadah puasa kita tidak rosak dan sia-sia walaupun tepat syarat dan rukunnya.
   
Selanjutnya Rasulullah SAW memberitahu kita supaya banyakkan ibadah di bulan puasa kerana balasannya sungguh istimewa. Ia bulan pengampunan dosa juga bulan dikabulkan doa. Terhimpun kebaikan padanya. Syurga rindu orang yang memuliakannya.
   
Bagi orang yang menghayati Ramadhan yang diberkati, puasanya akan berkesan dihati hingga membina peribadi.
   
Nabi SAW bersabda: “Siapa berpuasa pada bulan Ramadhan kerana iman dan mengharapkan reda Allah, akan diampuni dosanya yang terdahulu dan kemudian”
   
Inilah puasa yang hakiki..
   
Oh Ramadhan…kedatanganmu kurindu..kehadiranmu menggamit ketenanganku. 
 

:: Ada Hikmahnya ::

Assalammualaikum

Tok Penghulu dengan anaknya membela seekor kuda. Mereka amat menyayangi kuda itu. Satu hari, kuda itu terlepas dan terus lari ke dalam hutan berhampiran. Orang kampung yang tahu akan hal tersebut berkata kepada Tok Penghulu, "Kami simpati atas kehilangan kuda kesayangan Tok.Tentu Tok sedih.."

Sebaliknya,Tok Penghulu tersenyum lalu berkata, "Tak apalah.Mesti ada hikmahnya."

"Apa hikmahnya Tok?"

"Tok pun tak tahu. Tapi pasti ada hikmahnya."

Beberapa minggu kemudian, kuda kesayangan Tok Penghulu pulang semula dengan membawa beberapa ekor kuda liar. Orang kampung sangat kagum kerana sekarang bilangan kuda kepunyaan Tok Penghulu bertambah secara tiba-tiba. Sudah rezekinya.

"Tok bertuahlah.Untung." Begitulah kata mereka.

Tok Penghulu sebaliknya berkata, "Belum tentu lagi.Tapi Tok yakin tentu ada hikmahnya."

Anak lelaki Tok penghulu begitu gembira dengan kuda-kudanya. Setiap hari dia menunggang kuda kesayangannya sambil mengembala kuda-kuda liar yang lain. Entah bagaimana pada satu hari, anak Tok Penghulu itu jatuh daripada kudanya lalu tangan kanannya patah.

Orang kampung tahu dia adalah anak kesayangan Tok Penghulu. Mereka datang menziarahi anak Tok Penghulu yang terlantar.

"Malang benar nasib tok. Baru dapat nikmat sekarang ditimpa bala pula," kata mereka.

Tok Penghulu tersenyum dan berkata, "Ini ujian Allah.Tentu ada hikmahnya."

Tidak lama kemudian, kampung mereka didatangi oleh pegawai-pegawai atasan tentera negara itu. Orang kampung semuanya bimbang kerana raja mereka memang terkenal zalim dan tidak berperikemanusiaan.

"Raja memerintahkan semua anak muda lelaki dikumpulkan! Negara memerlukan tentera tambahan untuk dihantar ke medan perang!" Arah ketua tentera.

Semua ibubapa kampung itu risau dan sedih terpaksa berpisah dengan anak-anak lelaki mereka. Para remaja lelaki dibariskan dihadapan ketua tentera, termasuk anak lelaki Tok Penghulu yang patah tangan itu.

"Kamu dikecualikan! Tidak ada gunanya membawa orang yang patah tangan!" Kata ketua tentera sambil menunding jarinya kepada anak lelaki Tok Penghulu.

Pada ketika itu, terngiang-ngiang kata-kata dari mulut penghulu mereka, "Mesti ada hikmahnya."

Pengajaran:

Setiap apa yang berlaku ada buruk dan ada baiknya. Orang yang beriman sentiasa melihat daripada sudut yang baik daripadanya. Mereka menerima yang buruk dengan sabar, namun didalam hati sentiasa mengharap kebaikan disebaliknya daripada Allah.

 
 
wasalam
Powered by Blogger.