Assalammualaikum...
Apa yang pasti ialah rata-rata masyarakat hari ini sedang kebingungan dengan musibah keruntuhan akhlak di kalangan para pelajar kita. Dan pastinya juga pelbagai persoalan timbul di benak fikiran kita. Apakah pihak sekolah selaku institusi pendidikan gagal menangani masalah itu? Bagaimana pula peranan ibubapa dan keluarga? Sejauh manakah keprihatinan pemimpin dalam soal ini? Bagaimana pula reaksi institusi agama dalam menanganinya?
Keruntuhan akhlak di kalangan remaja khususnya para pelajar ekoran berlakunya kes-kes buli yang dahsyat dan juga kewujudan kumpulan-kumpulan samseng di sekolah-sekolah sejak sekian lama sehingga kini cukup memilukan hati kita semua, kerana ianya menggambarkan betapa biadap dan runtuhnya disiplin dan akhlak segelintir daripada golongan pelajar kita, terutamanya di kalangan pelajar-pelajar yang beragama Islam.
Laporan terkini di dada-dada akhbar mengesahkan bahawa dalam bulan Februari 2009 sahaja sudah ada tiga kes buli yang dilaporkan dengan satu daripadanya menyebabkan kematian. Kematian adik Mohd. Hadzrin Mohamad, di Cheras pada 21 Februari lalu setelah koma lapan hari akibat dipukul oleh sekumpulan 24 orang remaja adalah satu kes yang cukup menyayatkan hati kita semua. Sementara itu di salah sebuah sekolah di Mukah, Sarawak pula peristiwa buli yang berlaku dirakamkan dan disiarkan ke dalam internet. Malah banyak lagi kes-kes buli yang berlaku yang kita pasti tidak dilaporkan kerana takut perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.
Jika kita mengimbau kembali kes-kes buli yang pernah berlaku di negara ini, mungkin akan segar kembali ingatan kita kepada kes buli yang menimpa adik Muhamad Afiq seorang pelajar di sebuah sekolah di Kuala Lipis yang menghadapi risiko lumpuh sepanjang hayat dipercayai akibat dipijak dibelakangnya dengan kasut polis kadet serta dihentak badannya ke almari. Begitu juga dengan kes adik Mohd. Hafizi Jumhari, seorang pelajar di salah sebuah sekolah di Batu Pahat yang kehilangan sebelah buah pinggang, kecederaan di hati, limpa, hempedu dan pundi kencing akibat dibelasah oleh sekumpulan pelajar pada tahun 2003. Lebih malang lagi apabila kes buli yang turut menyebabkan kematian seorang pelajar bernama Mohamad Farid Ibrahim hanya kerana enggan meminjamkan alat pemanas air, beliau diperlakukan seperti binatang dan dibelasah dengan kejam sehingga mati.
Kumpulan pelajar ini seolah-olah telah hilang pertimbangan diri dan kewarasan fikiran. Mereka bertindak sesuka hati dan perbuatan mereka terkeluar dari jangkaan kita yang waras. Sekolah seolah-olah bukan lagi tempat yang selamat untuk para pelajar. Kalau dulu sekolah dapat berperanan di dalam memberi perlindungan kepada para pelajar daripada keganasan, namun kini persekitaran di sekolah mendedahkan mereka kepada keganasan di mana mereka juga akan mempelajari keganasan. Mereka terdedah kepada hukuman di dalam bentuk fizikal dan hukuman di dalam bentuk psikologi yang agak kejam dan memalukan, serta keganasan yang berdasarkan jantina dan berbentuk seksual, dan sebagainya.
Menurut kajian gangsterism di sekolah menengah harian yang dibuat oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, Kementerian Pelajaran Malaysia (Abdullah Sani Yahya, 2005), daripada 1560 buah sekolah di Malaysia, 459 daripadanya terdedah kepada budaya dan pengaruh gangsterim. Berdasarkan kepada kajian ini, kita sangat bimbang apakah bentuk kegananasan yang akan lahir pula di sekolah-sekolah di negara ini beberapa tahun akan datang.
Selain itu kita juga sangat bersimpati dengan para guru di sekolah-sekolah yang terbabit apabila imej sekolah yang selama ini dianggap mulia, tempat mencurahkan ilmu bagi mendidik anggota masyarakat, telah menjadi mangsa segelintir pelajar yang masih terbelengu dengan perangai yang tidak bertamadun. Bagaikan pepatah "madu diberi, tuba yang dibalas".
Mungkin segala apa yang telah berlaku ini akan terjawab apabila kita sanggup memuhasabah diri dan seterusnya mengkaji serta menilai kembali pengertian sebenar konsep pendidikan, tujuan dan peranannya terhadap pembangunan insan terutamanya golongan remaja dalam sesebuah masyarakat dan negara.
Tanpa menuding jari ke arah mana-mana pihak, kita semua harus insaf betapa kemerosotan akhlak dan moral pelajar serta generasi muda menandakan ada kesilapan pada bahagian tertentu pendidikan, sama ada formal atau tidak formal.
Sebelum dikaji konsep pendidikan, kita juga perlu sedar dan insaf bahawa pendidikan bukanlah tugas pihak tertentu sahaja, tetapi adalah amanah dan tanggungjawab semua - meliputi individu, ibubapa dan keluarga, pemimpin masyarakat dan negara.
Setiap insan bertanggungjawab, bahkan wajib mendidik dirinya sendiri dengan mencari pelbagai cabang ilmu dan maklumat serta memilih pengalaman hidup yang bermanfaat bagi membentuk cara berfikir dan bertindak yang tepat dan dapat diterima oleh agama, budaya dan nilai-nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan secara menyeluruh. Tegasnya, pendidikan adalah tanggungjawab setiap individu dan dilakukan secara bersungguh-sungguh.
Dari sudut penakrifannya, pendidikan adalah "suatu proses penyemaian ilmu secara berterusan kepada insan". Prof. Syed Mohd. Naquib al-Attas telah mendefinisikan pendidikan sebagai "satu usaha atau proses menitiskan sesuatu ke dalam diri manusia". Sementara Dr. Abdul Halim el-Muhammady pula menyatakan bahawa "pendidikan Islam itu sebagai satu proses mendidik dan melatih akal, jasmani, rohani dan emosi manusia berasaskan sumber wahyu, al-Quran dan as-Sunnah, pengalaman salaf al-soleh serta ilmuan muktabar dengan matlamatnya untuk melahirkan insan yang soleh". Dan Imam al-Ghazali pula mengatakan "pendidikan itu ialah mengeluarkan perangai yang buruk yang ada pada manusia dan menyemaikan perangai dan sifat yang baik". Secara umumnya, daripada pandangan-pandangan di atas kita boleh mengatakan bahawa pendidikan itu bersifat dalaman dengan bermatlamatkan melahirkan insan yang sempurna dan berakhlak mulia serta ianya proses yang mengambil masa yang panjang.
Walau apapun takrifan yang diberikan, dalam memahami pengertian pendidikan, tiga perkara perlu diberi perhatian iaitu proses pendidikan, jenis ilmu dan konsep insan. Kebiasaannya, proses pendidikan dilaksanakan dengan perantaraan pelbagai sistem atau peralatan canggih bagi menyalurkan ilmu dan maklumat.
Bagi golongan pendidik, terutamanya para guru mereka perlulah memiliki minat yang mendalam, kewibawaan menyampaikan ilmu dan keperibadian yang luhur untuk memastikan kejayaan proses pendidikan. Para pelajar sukar menerima ilmu dan mencontohi guru yang tidak ‘commited' atau bersungguh-sungguh, apatah lagi yang boleh dipertikaikan peribadi dan akhlaknya walaupun dalam perkara yang dianggap remeh seperti cara bercakap dan berpakaian. Rasa hormat kepada guru adalah antara syarat asas dalam memastikan kejayaan penyaluran ilmu dan nilai-nilai yang baik kepada para remaja.
Sementara dalam penyaluran ilmu yang tidak formal pula seperti dalam institusi keluarga, ibubapa perlu sentiasa menyingkirkan sifat buruk daripada menjadi amalan dalam rumahtangga. Bayangkan konflik jiwa kepada anak-anak jika ibubapa setiap hari menghantar anak ke kelas fardu a'in tetapi si anak mengetahui ibubapanya tidak pernah solat atau cuma ke masjid seminggu sekali.
Sementara dalam bidang kepimpinan pula, pemimpin perlu mengawasi diri daripada bersikap "cakap tak serupa bikin" untuk memastikan keberkesanan kepemimpinannya. Ini sebenarnya juga suatu bentuk pendidikan. Mereka yang dipimpin akan sentiasa melihat dan menilai apakah yang dilakukan oleh pemimpin dan bagaimanakah rupa bentuk akhlak yang diperlihatkan oleh pemimpin mereka.
Pendeknya, untuk melahirkan golongan pelajar yang berakhlak mulia, ianya memerlukan kepada penglibatan yang bersungguh-sungguh dari semua pihak. Tanpa kerjasama dari setiap pihak yang terlibat akan membantutkan usaha untuk mendisiplin mereka. Kita tersangat bimbang masa depan para pelajar kini lebih-lebih lagi di era globalisasi yang tiada lagi batas sempadan komunikasi yang menjanjikan sesuatu yang kita sendiri tidak pasti.
0 Ulasan & Pandangan:
Post a Comment